MENGAJAR & BELAJAR AL-QUR'AN

Semalam agak terkial-kial di dalam UIA mencari dimanakah letaknya Kuliyyah Egineering UIA. Gara-gara salah memilih kawasan letak kereta, terpaksa berjalan agak jauh. Agak jauh tidak mengapa jika tahu secara tepat di mana lokasi yang ingin dituju. Ada bagusnya tersalah letak kenderaan di kawasan Kuliyyah Architecture, dapat memerhati persekitaran yang ada. Sahabat yang ada bersama mengajukan persoalan. Tak nampak beza budak UIA dari budak U lain, pakain ada yang boleh tahan. Coupling.... Satu tujahan yang memerlukan jawapan dari warga didik dan pelajar UIA sendiri. Saya hanya merenung, adakah dedahan dunia globalisasi ataupun pemerkasaan terapan nilai Islam yang semakin pudar di UIA. Teringat kembali satu ketika dahulu, ketika mana masih ada lagi ustaz-ustaz yang شديد  terutama dari belah Jordan & Palestin, mereka ini begitu tegas dengan anak murid, tegas dalam penyampaian, tegas juga dalam mendidik kami. Paling tidak boleh lupa adalah cerita ustaz Bassam, bagaimana seorang jurujual yang kurang adab ditumbuk kerana mengintai ke dalam rumahnya, kalau tak salah cerita ini keluar ketika membahaskan bab isti'zan.

Agak jauh melalut... Tujuan sebenar malam semalam ke UIA adalah kerana ingin mengikuti kelas pengajian tajwid Al-Qur'an di bawah selian IFLA yang dipanggil Kursus Umum Tilawah Al-Quran (KUTAQ). Sebenarnya kami agak terlewat kerana kelas telah berjalan selama dua minggu. Kelas malam semalam merupakan kelas yang ketiga. Hajat untuk mendalami ilmu tajwid...mungkin lebih tepatnya memperbetulkan dan memantapkan pemahaman bagi memperbetulkan bacaan adalah telah lama terpendam. Semangatnya semakin menebal setelah beberapa tahun mengikuti talaqqi tahsinul qiraah secara tidak berkala di surau taman. Apa tidaknya, dari setiap sessi yang diikuti boleh dibilang dengan jari atau tiada langsung tidak pernah ditegur bacaan. Betapa lemahnya bacaan, betapa lemahnya penguasaan tajwid.

Kewujudan kursus memang telah lama diketahui. Setakat keinginan yang ada sahaja belum lagi cukup kuat untuk membolehkan menghadirkan diri. Apatah lagi dengan jadualnya yang agak mencabar untuk dipenuhi. Kelas bermula jam lapan. Kalau diikutkan alasan, bermacam alasan boleh diberi dari penat sehinggalah balik kerja lewat. Alhamdulillah, sokongan keluarga dan sahabat banyak membantu menguatkan azam. Pengorbanan keluarga adalah dalam bentuk mereka memahami dan kesanggupan mereka berkongsi jerih dan penat terutamanya zaujah yang menghadapi kerenah anak-anak. Paling menarik apabila mendengar perbualan antara anak dan umminya.

Anak : Ummi!, Walid nak pergi UIA buat apa? Nak buat belajar Master ...PHD ke?
Ummi: Walid nak belajar ilmu akhirat...


Penat terasa seolah terangkat. Selain keluarga, handai taulan juga memainkan peranan. Bergerak secara berseorangan tidak sama secara jamaie. Bersama saya ada tiga orang lagi sahabat. Ada masanya kita terasa malas dan tersarat pelbagai alasan. Di waktu itu, sahabat yang baik akan berperanan mengingatkan dan memupuk kembali semangat yang hilang.

Apa yang penting belajar Al-Qur'an dan ilmu Al'Qur'an ini tidak rugi, malah dengan ilmu yang ada kita akan menjadi sebaik-baik manusia. Ini berdasarkan sabda nabi melalui riwayat Muslim:
خَيرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya " Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Qur'an dan kemudian mengajarkannya ". Lafaznya nampak begitu pendek, tapi maksudnya begitu mendalam. Dalam aspek bacaan pula, kita dikehendaki membacanya dengan betul.
"Dan bacalah Al-Quran itu secara tartil (bertajwid)" - Al-Muzammil:4
Secara amnya, hukum belajar tajwid ini fardu kifayah, menjadi fardu ain apabila kita ingin membacanya. Paling tidak adalah surah Al-Fatihah kerana ia adalah bacaan wajib dalam solat. Dalam budaya orang kita, membaca Al-Qur'an seolah menjadi wajib pada bulan Ramadhan. Di rumah... surau... pejabat, biasanya akan diadakan majlis mengaji beramai-ramai. Sememangnya ia adalah satu budaya yang baik. Cuma lebih bagus jika Al-Qur'an itu dapat dibaca dengan baik dan elok, bukan semata ingin mencari fadilat membaca di bulan Ramadhan. Ada yang merasa bersalah jika hanya membaca beberapa surah sahaja walau pun surah-surah itulah sahaja yang betul bacaannya. Kita telah meletakkan pemhaman yang salah di sini. Memang betul digalakkan menghabiskan satu Al-Qur'an, itu adalah jika kita mampu membacanya dengan betul. Tak mengapa kerana ada guru-guru yang mengajar kita akan mendapat pahala juga sekiranya baca dalam keadaan merangkak. Ianya benar jika kita telah belajar dan tidak mampu untuk mengubahnya.

Persoalan? Adakah kita benar-benar mempelajarinya secara betul. Cukupkah sekadar yang dipelajari suatu ketika dahulu ketika masih kanak? Kita sanggup bersengkang mata, sanggup bertarung nyawa untuk mencari harta. Tapi amat jarang untuk meluangkan sedikit masa dan upaya untuk belajar Al-Qur'an, tetapi amat berupaya mencari ruang dan peluang untuk apa sahaja demi kepentingan urusan dunia kita








Comments