SATU UJIAN - HILANG SEKETIKA

Tiba-tiba hari yang cerah terasa mendung. Terasa amat pasti CompuTrekker telah di bawa bersama semasa ingin ke pejabat. Getus hati, mungkin tertinggal di rumah. Panggilan dibuat kepada isteri untuk pengesahan, malang sekali dia pun tidak pasti.

Setibanya di rumah, saya bergegas mencari di tempat biasa. Hampa! Segenap penjuru rumah diterjah. Tetap hampa!. Emmm bermacam persoalan dan tanggapan liar bermain dikepala. Jika ada yang mengambilnya, bilakah masanya? Beg dimasukkan ke dalam kereta di awal subuh hari. Berhenti paling lama tanpa pemantauan hanyalah ketika di surau. Itu pun dalam keadaan berkunci. Jika tidak berkunci mungkin seketika ketika berhenti di rumah untuk mengambil anak-anak untuk ke sekolah.

Azan Maghrib berkumandang. Saya ke surau seperti biasa. Cumanya pada waktu itu kepala sarat dengan pelbagai andaian ke manakah perginya beg itu. Walau pun tidak ada emas dan permata di dalamnya, isi kandungnya merupakan sesuatu yang amat bernilai pada saya.

Dalam fikiran yang berkecamuk, solat jemaah didirikan. Cuma kekhusyukkan yang dicari tidak datang, tambahan pula peluang yang ada digunakan sepenuhnya oleh syaitan agar diri terus lalai. Sekali direnung, jauhnya dari nilai solat yang dialami oleh para sahabat. Ada sahabat yang melepaskan kebun semata terganggu khusyuknya akibat terlihat kelibat burung. Dalam fikiran terlintas, layakkah diri ini mendapat balasan yang baik-baik sedangkan dengan sedikit godaan sudah pun tewas? Apa pun, semoga Allah mengampuni dosa atas kelalain ini.

Atas nama ikhtiar, selesai solat Isyak, solat sunat hajat didirikan agar barang yang hilang ditemukan kembali. Ada juga mencadangkan agar dibaca yasin 7 kali serta berdoa kepada Allah. Dalam mengantuk digagahi jua membaca yaasin. Pada bacaan kali ke-7 mata terlelap dengan sendiri...

Esoknya ke pejabat seperti biasa. Hati tidak lagi gusar. Jika ada rezki dan jodoh barang yang hilang akan dipertemukan. Ketika di tempat nursery anak-anak, isteri sempat berpesan kepada penjaga mereka sekiranya ada yang terjumpa beg tersebut harap dimaklumkan.

Setelah beberapa jam berlalu, harapan yang barang tersalah letak di nursery anak-anak semakin pudar. Dalam hati sudah berkira untuk mewar-warkan kehilangan dalam mailing list. Elok sahaja dengan waktu zohor isteri membuat panggilan. Abang! beg dah jumpa. Anak baru call dari nursery.

Alhamdulillah... berita gembira diterima ketika ingin menunaikan solat zohor. Sungguh indahnyaaturan yang Allah berikan. Sesuatu itu hanya menjadi milik kita hanya dengan izin Allah, ianya juga tidak akan menjadi milik kita tanpa izin Allah. Itulah pegangan kita. Itulah yang wajib kita percayai. Apabila teguh pendirian kita sebegini, Insyallah, kepadanya jua segala harapan dan taruhan kita sandarkan.

Kehilangan ini seolah memberi amaran agar setiap harta dan rezki yang diberikan hendaklah digunakan atas landasan syariah. Segala kesilapan yang lalu hendaklah ditebus dengan taubat.

Comments