UAI @ UIA

Minggu lepas pada hari yang sama (Jumaat), Ustaz Azhar Idrus (UAI) telah bertandang ke UIA. Memandangkan lokasinya tidak jauh dari kediaman, peluang ini pastinya sukar untuk dilepaskan.

Selesai solat maghrib, berita terkini mengatakan tempat kuliah telah dipindahkan. Asalnya Masjid UIA, kemudian dipindahkan ke dewan experimental.

Tiba di UIA elok sahaja orang habis solat Isyak. Asalnya hendak pergi sesudah solat Maghrib, tapi terpaksa melencong ke Taman Melati seketika atas urusan lain dahulu.

Menghampiri UIA dari Taman Melati, agak pelik juga kerana jalan tidak sesak seperti dijangkakan. Kalau di Masjid Ulu Kelang dan tempat lain, jika datang lewat pastinya jalan dan sesak susah mencari tempat letak kereta. Mungkin pada hari itu ramai yang bekerja dan tidak berkesempatan untuk hadir.

Tingkat Bawah Dewan
Sampai di dalam UIA, kami hanya mengikut arahan. Sampai di dewan, orang telah pun penuh. Tingkat bawah penuh dengan muslimat. Kami hanya duduk berhampiran dengan pintu. Nak naik ke atas kembali, rasanya sudah tiada ruang. Akhirnya setelah semakin ramai yang masuk ke dalam, kami beredar ke luar. Berdiri di luar pintu. Bunyi suara ustaz antara tenggelam timbul. Tidak boleh nak salahkan penganjur kerana lokasi asal bukan di sini. Dalam keadaan tertekan ini, pihak penganjur boleh dikatakan berjaya. Bukan senang untuk mencari tempat gantian jika kegawatan berlaku di saat akhir.

Akhirnya kami turun ke bawah kerana terdapat satu lagi lokasi mendengar. Agak hampa juga kerana suara ustaz hanya dapat didengar dari arah tertentu. Alhamdulillah, sebelum masuk sessi soal jawab, terlihat kelibat petugas sedang menyediakan 2 speaker tambahan. Suara ustaz menjadi jelas dan lantang.
Petugas Sedang Menyediakan Speaker

Melihat yang hadir, hati terasa gembira kerana terdapat ramai lagi golongan muda yang hatinya tertarik untuk menghadiri majlis ilmu. Ini jauh lebih baik daripada berpeleseran tidak tentu hala. Sekiranya dapat dibuat di masjid, alangkah eloknya. Apakah keperluan untuk dihalang majlis sedemikian. Adakah mendekati majlis ilmu dan memantapkan diri dengan kefahaman islam menjadi satu kesalahan dan ancaman? Sepatutnya kita perlu risau anak muda dan remaja kita yang berpeleseran tidak tentu arah tanpa tujuan dan  matlamat yang jelas. Pada malam yang sama dan juga malam-malam yang lain dikehadiran ustaz, bukan semuanya dari golongan yang berkopiah. Ada juga dari jenis memakai gelang dan berseluar jeans. Bukan nak mengatakan berseluar jeans tidak elok, cuma sekadar perbandingan.

Kita seharusnya berasa gembira kerana personaliti ustaz berjaya menarik golongan muda untuk menghampiri surau/masjid. Tidak merasa terpinggir. Tidak merasa surau/masjid hanya untuk golongan lebai dan orang tua sahaja. Cara penyampaian beliau berjaya menyingkap benteng pemisah ini. Tidak ramai ustaz-ustaz yang ada tarikan sebegini. Apa lagi yang kita mahu!

Buat ustaz, teruskan perjuangan. Insyallah ramai yang berdiri dibelakang ustaz  untuk melihat orang mude geng kite.
Para Pendengar di luar Dewan







Comments