MENDEKATI TAJWID

Tajwid bermaksud memperelokkan atau mencnatikkan. Secara istilahnya, sesetengah ulama mentakrifkan ianya sebagai memberikan hak-hak huruf Al-Qur'an dan perkara yang berkaitan dengannya seperti makhraj, sifat, dengung, tebal atau nipis serta panjang dan pendeknya.

Hukum mempelajari ilmu tajwid itu pula fardu kifayah. Menjadi fardu ain pula kepada mereka yang ingin membaca Al-Qur'an. Kerana Al-Qur'an itu hendaklah dibaca secara tartil yakni bertajwid, seperti mana ditegaskan di dalam Al-qur'an menerusi ayat 4 sural Al-Muzzammil yang maksudnya "dan bacalah Al-Qur'an itu dengan tartil". Saidina Ali R.A menerangkan tartil itu sebagai 'membaca Al-Qur'an dengan mentajwidkan huruf-hurufnya dan mengetahui tempat-tempat berhenti yang benar'

Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari membaca Al-Qur'an secara wajib sekurang-kurangnya 17 kali sehari iaitu pada bacaan Al-Fatihah di dalam solat . Bacaan fatihah pula merupakan rukun qauli di dalam solat. Perlunya kita mempelajari ilmu tajwid sekurang-kurangnya adalah untuk mengelakkan rosaknya bacaan fatihah di dalam solat. Perkara berkaitan dengan bacaan tidak boleh dipelajari secara tepat dengan hanya mendengar, juga bukan dengan membaca semata. Ini kerana kaedah bacaan Al-Qura'an itu disampaikan secara bertalaqqi. Pada pendengaran kita, kita berasa yakin bahawa sebutan kita telah betul, terasa sudah cukup sifatnya. Tetapi belum tentu lagi jika diperdengarkan guru Al-Qur'an. Tidak menjadi sesuatu yang haram jika tidak mengetahui nama satu-satu hukum seperti di susun oleh para ulama. Haramnya apabila kita secara sengaja tidak membacakan ayat-ayat Al-Qur'an secara tartil.

Kita seringkali beralasan dahulu pernah belajar tajwid, berasa bacaan yang telah kita pelajari semasa kanak-kanak telah mencukupi dan tiada apa yang perlu diperelokkan lagi. Benarkah?

Berapa lama masa kita habiskan utk memperbetulkan bacaan dahulu?
Berapa lama masa telah habiskan menjaga bacaan kita agar ianya sentiasa elok?
Banyak manakah ingatan tentang apa yang telah kita pelajari dahulu?

Kita gemar untuk membaca Al-Qur'an, mengharap agar adanya ganjaran daripada disebalik bacaan itu. Di bulan Ramadhan Kita sering mendengar hadis nabi yang bermaksud akan diberi ganjaran kepada mereka yang membaca Al-Qur'an walau dalan keadaan sukar (terangkak-rangkak). Ramailah yang membaca, secara individu maupun secara berjamaah. Namun, ramai yang salah memahami hadis ini, membaca tanpa ada asas. Membaca secara tidak tartil. Ganjaran itu sebenarnya ditujukan kepada mereka yang telah berusaha untuk belajar dan bersungguh pula.        

Adakah kita kurang tepat bacaannya kerana telah bersungguh dalam memperelokkan bacaan atau kerana kita sentiasa ada alasan untuk tidak belajar? Orang yang bersungguh Insyallah akan diberikan kelancaran dan kefahaman. Ilmu dan kemahiran itu tidak datang bergolek, ianya pelu dicapai, perlu dicari. Apa yang perlu adalah usaha dan kemahuan. Bagi mereka yang berusaha, ratusan batu perjalanan bukanlah halangan, dingin pagi sebelum fajar juga bukan alasan untuk terus menarik selimut.

Di takuti suatu masa nanti kita tidak dapat menjawab soalan-soalan berkenaan masa, Kerana kita sentiasa kesuntukkan waktu.

Mengapa kita ada berjam lamanya untuk melihat tayangan hebat,, tapi tiada sedetik untuk memperbetulkan makhraj huruf.
Mengapa kita ada berjam untuk mundar-mandir di gedung membeli-belah, tapi tiada seminit untuk mengenali sifat huruf.
Mengapa kita ada berjam lamanya berdiskusi santai di bistro, tapi tiada pula seketika untuk meneliti tempat waqaf.


Luangkanlah seketika dari waktu-waktu yang kita ada untuk belajar dan memperbetulkan bacaan. Tiada kamus usia dalam menuntut ilmu. Selagi bernafas, masa itu pasti ada, cuma antara mahu atau tidak sahaja.

Iman Al-Jazari pernah menulis yang maksudnya:

Mengamalkan tajwid itu suatu kewajipan
Kerana berdosa tidak mengelokkan bacaan
Kerana Quran itu turunnya dari Tuhan
Dan begitulah kepada kita sampainya bacaan
Tajwid juga perhiasan bacaan
Dan hiasan sebutan dan bacaan


Wallahua'lam

Comments