BUAL BICARA BERSAMA SHAM (KAMIKAZE)

Terasa seperti telah lama tidak menulis di sini. Kekeringan idea berhadapan papan kekunci tetapi tidak ketika duduk bersantaian.

Semalam merupakan kali kedua bertemu dengan saudara Sham. Kali pertama lebih santai kerana acaranya juga santai. Semalam merupakan bicara ilmu, bicara luahan hati insan yang Allah campakkan kepadanya nur untuk pulang agar lebih dekat kepadanya.

Semalam bukanlah majlis pengisahan bagaimana beliau terdetik untuk kembali pulang tetapi lebih kepada perkongsian apa yang dicari setelah pulang dan kepulangan itu perlu diisi. Jika tidak diisi sebaiknya, lama-kelamaan ruang yang tidak diisi ini boleh kembali dengan lagha yang suatu ketika dulu memalit diri.



Ruang-ruang kosong ini haruslah diisi dengan jamuan rohani. Berdampingan dengan para ulama agar ada yang mengingatkan kita ketika alpa. Hari ini mungkin kita ingat, esok belum tentu lagi.

Selain mengisi ruang yang ada dengan perkara berfaedah dan boleh mendekatkan diri dengan Allah, kita juga hendaklah menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia. Perkara yang mendatangkan murka Allah seperti membazir masa semata melayan gossip sensasi, berita yang tiada kaitan dengan kita. Bukan sombong, tidak juga terkebelakang kerana tidak mengetahui berita sekitar yang tiada kaitan dengan kita. Ditakuti berita yang diketahui ini membuka pula ruang kepada umpatan keji yang sudah menjadi budaya sebahagian kita pada hari ini. Ratanya tidak merasa ianya satu dosa, bahkan seolah telah menjadi ruji harian, di mana dirasakan hidup kurang sempurna jika tiada apa yang harus digossipkan.

Tepi kain orang sering dijaga, tepi kain sendiri rabak tidak disedari. Juga menjadi seakan satu penyakit mereka yang baru mencari agama. Bertanyakan soalan yang tidak berkaitan diri. Soalan diajukan semata mencari jawapan kekurangan orang lain. Kelompongan diri tidak diketemui. Tuan guru yang menjawab juga mungkin terperangkap. Berminat untuk melayan soalan yang ada ketikanya jelas sebagai perangkap adu-domba.

Apa yang baik, kita mencari kekurangan diri sendiri. Semoga kita selalu nampak gajah di depan mata dan bukannya semut di seberang.

Comments