JJCM - KUANTAN : HARI DUGAAN (BHG 2)

Di hari kedua ini hasrat nak mencari sunrise, tapi rasa seperti tiada kerana pada sebelah malamnya kehujanan sehingga ke pagi. Selesai subuh, memang benar sangkaan hati. Cuaca mendung. Awal pagi nampaknya terpaksalah bermula dengan sarapan di hotel :)

Sarapan di hotel adalah sama seperti di mana-mana hotel yang lain bersesuaian dengan taraf bintangnya. Dari segi makanan, menunya adalah biasa sahaja tanpa ada menu yang lain dari yang lain. Yang menarik di hati adalah nasi lemak dan sambalnya. Keluasan dan dekorasinya juga menyenangkan mata memandang :)

Rancangan seterusnya agak tergendala kerana Kak Long tiba-tiba sakit kepala dan sedikit selsema. Mungkin kesan penghawa dingin yang sejuk pada malamnya. Jadi duduk sahajalah di bilik sambil layan anak-anak. Dah tak dapat ke kolam mandi, bath tub dlm bilik pun kira bolehlah untuk dijadikan mini pool.

Setelah check out, kami menuju ke Taman Gelora untuk mencari karipap panas. Mana tahu ada untung gerainya sudah di buka. Seperti dijangka, gerainya masih belum beroperasi. Jadi kami terus sahaja ke Masjid Tanjung Api untuk menunaikan solat zohor dahulu. Selesai solat kami terus menghala ke Swiss Garden & Spa.

Karipap Panas Beserah
Karipap Panas Beserah
Dah ada yang mengidamkan karipap panas, dalam perjalanan ke hotel kami singgah sebentar di Beserah untuk membeli karipap panas di tepi jalan. Karipap panas ini pun tak kurang mashurnya. Kami sukakan karipapnya yang berintikan ayam. Intinya ala-ala cair di mulut :). Pernah keluar dalam akhbar the star kalau tak salah. Harganya pula seperti karipap-karipap yang biasa dijual. Lokasinya tidak jauh dari stesen minyak Shell di arah bertentangan. Kalau dari arah Kuantan ianya di sebelah kanan jalan dan berbetulan dengan sebuah bengkel kecil.

Sebelum membuat pendaftaran masuk di Swiss Garden, kami ingin singgah di sebuah kedai makan yang menjual nasi ayam kukus. Seorang anak teringin sangat nak minum air spongebob di situ. Nampaknya tiada rezeki kami di situ, kedainya tutup. Tak pasti, bercuti atau tutup terus. Dalam tidak pasti nak berhenti di mana, terperasan ada satu kedai nasi ayam bersebelahan KFC Balok. Teruja melihat banyak kereta berhenti di hadapannya kami pun terasa ingin mencuba. Nampaknya pengalamn pertama kami di situ tidak baik. Pada perkiraan kami, mutu perkhidmatan yang diberikan amatlah rendah. Terpaksa menunggu lama untuk menjamah makanan begitu juga minuman. Dah memang terdetik dihati untuk meninggalkan meja dan maju sahaja ke KFC berhampiran. Ketika membuat pembayaran saya sempat bertanya, "Memang di sini biasa dapat lambat ke?" Tanpa ada rasa bersalah dijawabnya hari ini  kekurangan pekerja sebagai jawapan mengapa pelanggan perlu tunggu lama. Jawapan itu saya kira kurang dapat diterima berdasarkan bilangan pekerja dan pelanggan yang ada ketika itu. Mungkin mereka agak sibuk dengan order untuk bungkusan. Emmm... Dari segi mutu makanan, Tuan/Puan boleh cuba sendiri :). Semoga mereka dapat memperbaiki mutu perkhidmatan di masa hadapan dan belajar untuk memohon maaf dari pelanggan atas kekurangan agar hati yang panas dapat suam jika tidak sejuk sekalipun.

Swiss Garden & Spa Kuantan

 Dugaan ketiga muncul pula di Swiss Garden. Kami terpaksa menunggu hampir sejam dan setelah jam melewati angka 4 barulah kami dapat masuk ke bilik. Itu pun dengan bilik yang belum siap sepenuhnya. Kad biliknya pula tidak berfungsi, nasib baiklah ada room service berdekatan yang dapat membuka pintu bilik dengan menggunakan kunci mereka. Sementara menunggu, kami ditempatkan di dalam pub sebagai waiting room. First time masuk pub!  Tak selesa berada di dalam, kami duduk sahaja di luar sambil anak-anak dah mencuka sebab lambat dapat pergi ke kolam mandi.

Sebenarnya kami baru menjadi ahli kelab dan pendaftaran dibuat ketika Matta Fair. Dengan layanan dan pilihan bilik kelab yang terhad kami rasa langsung tidak berbaloi menjadi ahli kelab. Cerita tentang kelab ini akan saya tulis diruangan khusus kerana ada banyak perkara yang ingin dikongsikan dan dijadikan panduan.

Ana Ikan Bakar Petai Tanjung Lumpur

Ana Ikan Bakar Petai
Air Gelas Besar - Dah habis pun... :)
Setelah anak-anak gembira dapat mandi dan ke pantai, kami pun menuju ke Tanjung Lumpur untuk menikmati makan malam. Melihatkan maghrib dah nak hampir ketika tiba di sana, kami singgah dahulu di masjid Tanjung Lumpur. Alhamdulillah, masjidnya indah dan bersih. Sebelum tiba di masjid, kelihatan kereta telah banyak di kiri dan kanan bahu jalan maupun di tempat letak khas. Rasanya tidak perlu dinafikan Tanjung Lumpur memang menjadi pilihan penduduk sekitar Kuantan dan juga mereka yang datang dari luar untuk menikmati makanan laut. Tidak kira kedai-kedai makan di persisiran jalan besar maupun di sebelah dalam menuju ke masjid, Rata-ratanya menerima kunjungan yang ramai.

Sotong Goreng Tepung - Ana Ikan Bakar Petai
Sotong Goreng - Ana Ikan Bakar Petai
Seusai solat, kami segera menuju ke Ana Ikan Bakar Petai. Mana lagi kalau tidak ke sini. Ini antara tempat wajib singgah kami sekeluarga apabila ke Kuantan. Kami memilih kedainya yang terletak di awal jalan selepas selekoh. Alhamdulillah, ada tempat kosong dan tak perlu menunggu lama. Kami perasan, acapkali juga kami mendapat meja sama di kedai ini. Semacam dah booking saja mejanya :). Malam ini kami memilih jenahak, sotong, udang serta sup ayam sebagai juadah pilihan. Airnya pula terdiri dari pelbagai jenis air buah. Jenahak dan sotong dibakar petai. Manakala sotong digoreng tepung. Alhamdulillah, sememangnya pilihan yang tepat. Isteri dan anak-anak nampaknya gembira sehingga terpaksa ditambah lagi segelas air gelas besar untuk dikongsi bersama :). Selera kami sekeluarga sememangnya seolah telah terikat di sini, tak salah rasanya kalau Tuan/Puan yang berkunjung ke Kuantan ingin mencubanya. Harganya pula pada hemat kami memang murah. Khabarnya, di Bangi pun telah ada satu cawangannya. Insyallah ada masa boleh pula mencuba yang di Bangi.

Ikan Bakar Petai

Antara lainnya, di sini juga ada disediakan surau. Di belakang kedai pun ada sebuah surau kecil. Tak jauh dari sini juga ada sebuah masjid baru yang agak besar. Selain faktor hidangan yang baik, layanan yang bagus, kami juga melihat faktor kawasan yang mudah didirikan solat. Jadi bila nak makan, tiadalah terasa nak tergesa-gesa.

Meskipun sebahagian hari diuji dan diduga dengan pelbagai masalah, sebagai umat Islam kita haruslah bersabar di atas ujiannya. Insyallah kesabaran itu ada ganjaran baik di sebaliknya. Dan ia juga sebagai ujian dari Allah kepada hambanya, agar mereka menjadi lebih bertaqwa.

*** Kunjungan terakhir sekitar pendafaftaran anak ke MRSM sesi 2013, sudah ada penambahan menu baru. Antaranya dan sempat dicuba ialah Ketam Telur Masin. Mengikut selera kami, menu yang sama ini lebih terserlah keenakannya di Marina Seafood.


Comments