Monday, June 4, 2012

JJCM - KUANTAN : (BHG 3)

Hari ketiga dimulakan dengan harapan agar dapat melihat sunrise. Ditemani dengan Lutfi, saya ke pantai. Cuacanya baik cuma sedikit berawan di kaki langit yang menghalang kemunculan matahari secara jelas. Sempat jugalah mengambil beberapa keping gambar untuk melepas gian mengambil gambar. Hasilnya, macam biasa hasil seorang jurufoto amatur :)


Kak Som Tanjung Api
Macam-macam ada - Pengat, pulut dll. 
Pulut Durian - Kak Som Tanjung Api
Pulut Durian
Kali ini sarapan pagi perlu dicari, kerana pakej penginapan hotel yang diambil tidak termasuk breakfast. Sasaran kali ini adalah kawasan Tanjung Api secara khususnya isteri saya ingin mencuba nasi minyak warisan Eda Yasin. Sebelum keluar sempat membuat semakan di Internet, nampaknya kami kurang bernasib baik kerana mengikut tulisan sebuah blog, kedai makannya tutup setiap Isnin.

Dah memang hajat hendak ke Tanjung Api, kami redah sahaja ke sana, carilah mana-mana kedai minum pagi. Akhirnya kami singgah di satu kawasan kedai makan ala food court di sana.

Gerai singgahan kami bernama Gerai Kak Som Tanjung Api. Menu pilihan adalah nasi dagang, nasi campur, lauk telur ikan goreng kunyit dan sambal ikan masin. Anak-anak pula teringin durian kerana kerana dah ternampak durian yang siap berkupas di atas meja. Terpaksalah pesan bubur durian walaupun bukan nak makan pulut sangat pun. Dari kepelbagain yang ada, memang sesuai dikunjung bagi sesiapa yang tidak biasa mengambil nasi campur sebagai sarapan pagi. Lauk yang disajikan juga beraneka. Telur ikan dan sambal ikan masinnya pun sedap. Bersebelahan ada juga gerai roti canai. Tapi masa sampai dah habis pula....

Kak Som Tanjung Api
Gerai Kak Som Tanjung Api


Destinasi seterusnya setelah keluar hotel adalah mencari tempat makan tengahari dan gerai menjual keropok. Nak ke Kemaman & Cherating terasa agak jauh kerana kesuntukan masa. Selesai solat zohor, kami terus menghala ke kedai makan impian anak-anak.

Air Spongebob - Nasi Kukus Seberang Balok
Menikmati Air Spongebob
Mereka masih lagi hendakkan air Spongebob. Alhamdulillah, hari itu kedainya buka dan sudah agak mula lengang. Mungkin kerana waktu rehat pejabat dah hampir tamat. Elok juga kami tiba di waktu itu, tidaklah sesak sangat dan sampai perlu menunggu seperti kunjungan pertama kali dahulu.

Dah nama kedai makan Nasi Kukus, menu yang ada hanyalah nasi kukus dan lauk-pauknya. Tak pasti pula jika ada menu yang lain sebab yang nampak jelas nasi kukus sahaja. Rasanya Insyallah memuaskan hati. Kalau kurang enak, datangnya hanya sekadar minum sahaja :). Apa pula yang menarik dengan air Spongebob ni. Entahlah, mungkin sebab namanya yang unik. Sebenarnya, rasanya pun boleh tahan juga. Dari jenis ice blended, macam bandung ice blended, cuma sedap lagi :). Kalau dah singgah, tak salah mencubanya. Kalau tak kena selera hati jangan marahkan kami kerana rambut sama hitam, selera lain-lain ;).

Nasi Kukus Seberang Balok
Seterusnya kami berpatah kembali menghala bandar Kuantan untuk singgah di Taman Gelora. Di sepanjang perjalanan, mata kami melilau mencari mana nak berhenti beli keropok. Kali ini tak banyak rujukan yang kami ada dalam mencari keropok yang baik sekitar Balok dan Beserah. Ada terbaca dalam akhbar utusan tentang Keropok Balok, pusing punya pusing tak jumpa juga. Kami tawakkal sahaja, mana yang kami nampak itulah tempat yang kami singgah.

Akhirnya kami berhenti di sebuah gerai menjual keropok di Sungai Karang. Mula-mula beli dahulu yang digoreng. Kera test dahululah. Rasa Ok barulah beli yang mentah. Ini penting bagi mengelakan dari terbeli keropok yang kita rasa tidak menepati citarasa. Kami beli sedikit di sini. Memang ada kedai keropok yang agak besar tidak jauh dari Swiss Garden, tapi pernah beli dahulu dan citarasanya tidak menepati kehendak kami. Itu yang buat kena cari port lain pula.

Kerepok Lekor Pak Soh
Keropok Lekor Pak Soh
 Kemudian kami mencari lagi satu kedai lain. Nak juga rasa dari kedai lain, mana tahu dapat yang lebih sedap. Akhirnya kami nampak kedai bertulis Pak Soh. Itu pun dah terlajak sedikit ke depan. Ingatkan kedai makan, rupanya ada sekali tempat menjual keropok. Rasanya, kedai ini masih terletak di Sungai Karang dan betul-betul di hadapan Swiss Garden yang masih dalam pembinaan. Di sini keropoknya agak unik sedikit berbanding dengan yang lain dipersekitarannya. Menurut mereka, hanya mereka sahaja yang menjual keropok sebegitu di situ. Keropoknya digentel halus-halus dan dijual dalam bentuk genap. RM10, RM20 dan seterusnya. Kami beli 20 ringgit dan dibungkus dalam bentuk lima ringgit. Senang nak bagi orang. Untuk bungkusan, keropoknya akan digoreng seketika dan dibungkus. Menurut mereka, hendaklah disimpan di dalam peti sejuk (bukan tempat beku) agar ketahanannya dapat dikekalkan dan mampu bertahan sehingga 2 bulan. Rasanya, Alhamdulillah tidak mengecewakan kami. Kami melihat mereka berpotensi untuk pergi jauh lagi.

Destinasi terakhir tentunya karipap panas Taman Gelora. Kira cubaan terakhir. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam, untung kami dapat karipap :). Takut tak dapat, sekali lagi kami singgah di Beserah untuk membeli karipap. Ingatkan dah hampa, kerana yang tinggal hanya karipap sardin. Isteri saya terpaksa menggunakan hikmat peringkat ke-9 aura memujuk :). Sebenarnya, karipap ayam masih ada lagi, cuma telah habis ditempah. Alhamdulillah, adik yang klip dan goreng karipap tu kasihankan kami. Setelah ditenungnya bekas inti, dapatlah kami beli 5 ringgit :).

Menghampiri Taman Gelora hati isteri berdebar. Ada ke tiada... Anak yang no 3, seperti biasa mengusik umminya, "Kan tutup....". Kami rasa memang betul gerai ini hanya dibuka bermula sekitar jam 3 petang. Kali ini kami lebih beruntung kerana tidak perlu beratur menunggu. Pergi dan cekup sahaja karipap. Tak rugi bersabar 2 hari :)

Karipap Panas Taman Gelora
Kak Long sedang mengisi karipap


Karipap Panas Taman Gelora
Lokasi Karipap Panas Taman Gelora

Beberapa tahun lepas kami pernah bertanya mereka di sekitar, termasuk peniaga gerai lain. Mana satukah gerai karipap Taman Gelora yang top. Malang betul masa itu. Semua kata tak tahu. Macam mana pula di Internet banyak sekali yang tulis, kalau ke Kuantan jangan lupa cari karipap panas Taman Gelora. Itu yang ambil gambar ini. Senang kalau sesiapa yang terbaca dan nak cari gerai yang mana satu. Sebab ada banyak lagi gerai lain di sini.

Karipap Panas Taman Gelora & Beserah
Karipap Panas Taman Gelora & Beserah. Yang comel-comel tu Beserah punya. Yang rupanya kurang sedap mata memandang, Taman Gelora punya.
Dari segi perbandingan kedua-dua karipap ini sedap dan ada kelebihan masing-masing. Tak rugi mencuba keduanya sekira berada di Kuantan.Persingggahan di Taman Gelora menoktahkan JJCM kami di Kuantan pada kali ini. Citarasa dan pandangan kami mungkin berbeza dari org lain. Apa yang ditulis adalah berdasarkan apa yang kami nikmati dan alami. Saya sebenarnya tidak pandai menulis, cuma tergerak hati untuk menulis kerana kadang-kadang maklumat yang kami cari di Internet tidak banyak membantu. Saya rasa senang hati sekiranya coretan ringkas ini dapat menjadi panduan anda dalam mencari tempat makan di Kuantan. Kalau nak tahu lebih lanjut kenalah rujuk orang Kuantan, bukannya bekas orang Kuantan :).

*** Kunjungan terakhir sekitar hujung tahun lepas, harga karipap telah naik kepada RM1. Itu pun jika saya tidak salah membayar dan penjual tidak salah mengira harga.

*** Karipap panas Beserah (bertentangan dengan shell) telah agak lama tidak dijual. Khabar mengatakan, ianya berlaku setelah pembuatnya terlibat dalam kemalangan,


No comments:

Post a Comment

Pandangan anda dihargai