RAMADHAN BERLALU....

Ramadhan 1433 telah pun beredar. Syawal pula hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi. Surau...Masjid, rata-rata kembali kurang meriah tidak seperti di bulan Ramadhan yang mana sentiasa dilimpahi manusia. Besar, kecil, sihat, uzur, semua ada. Kini, hanya muka-muka yang sama memenuhi saf-saf yang boleh dibilang. Namun, Alhamdulillah, ada juga sosok-sosok baru mememenuhi ruang, terkesan dari tarbiah Ramadhan. Semoga mereka ini terus istiqamah dikala ramai yang gugur.

Seperti perantau yang lain, anak rantau ini juga pulang ke kampung halaman. Kali ini giliran sebelah isteri. Perjalanan pulang agak lancar, mungkin kerana telah ramai yang pulang dihari-hari sebelumnya. Menyusuri Negeri Sembilan, banyak sekali ayam-ayam bergantungan (ayam salai) di tepi jalan. Satu pemandangan yang agak biasa di musim perayaan ini. Anak kedua yang baru terjaga dari tidur tiba-tiba bersuara. "Ada orang jual katak!". Dari mana pula datangnya katak? Ketika itu kami sedang menghampiri Gemas. Oh! rupanya ayam salai. Hakikat yang agak pahit untuk ditelan. Anak-anak ibukota yang agak sempit pengalaman hidup, kurang pendedahan tentang kehidupan di luar kota. Ada juga yang mengenali ayam itu ayam KFC sahaja...

Sebelah malam pula, peluang untuk berjamaah di masjid dan sama-sama bertakbir dengan jamaah yang lain tidak dilepaskan. Majoriti jamaah adalah warga emas. Hati membentak, mungkin ramai yang masih lagi kepenatan dan sibuk di dapur.

Subuh 1 syawal menyaksikan pemandangan yang hampir sama. Jauh di sudut hati timbul persoalan, adakah kita ini beribadah semata kerana Ramadhan atau kerana Allah? Adakah terbenamnya mentari terakhir Ramadhan itu sebagai tanda kita kembali terbelenggu bersama terlepasnya syaitan?

Membicarakan solat jamaah pasca ramadhan seolah terasa jauhnya kita dari kemenangan. Seolah tarbiah ramadhan itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada mereka-mereka yang berpuasa. Bukan tiada, tapi mungkin boleh
dibilang dengan jari. Selain jumlah jamaah yang kecil, mata ini juga menyaksikan ada tempat yang muazzin dan imam adalah orang yang sama...




 
Terbenam mentari ramadhan bukanlah bererti
Terhentinya jamaah, masjid dikunci
Terkuncinya ilmu, kitab dipateri 
Terpateri istiqamah, nawafil dijauhi


Ketahuilah; Sesungguhnya kelebihan zikir itu tidak hanya terhad dalam lingkungan tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan yang seumpamanya. Bahkan setiap perbuatan kerana taatkan Allah taala itu adalah tanda mengingati Allah - Said bin Jubir R.A

Comments