MRSM TAR - SATU PERJALANAN



Januari 15 2013 merupakan tarikh keramat buat kak long. Hari yang menjadikannya sebagai salah seorang warga MRSM TAR. Hari yang menjauhkannya dari mata kami, tapi tidak sekali di hati. Jauh dipelosok hati ianya semakin kemas melekat disanubari, tanda ingatan kasih kami kepadanya. Apa jua rasa yang membuku dihati,membungkam disanubari, akan kami pendam semata ingin melihatnya menjadi insan yang mampu berdikari dan berjaya di dunia dan akhirat.
KEPUTUSAN UPSR 2012
Penantian belum berakhir, kesabaran diduga, keputusan tahun ini keluar lewat dari jangkaan, bukannya di minggu terakhir peperiksaan seperti tahun yang lalu. Debaran berpanjangan lagi. Percutian awal cuti persekolahan sedikit terusik. Alhamdulillah, pengalaman indah dari percutian berjaya menghilangkan debaran seketika.
Debaran kembali berkunjung. Pasti! 19 Nov adalah tarikhnya. Itulah juga tarikh bapa mertua perlu mendapatkan rawatan di Syifa Hidayah Medic di Setiawangsa. Awal pagi lagi kami telah berada di Setiawangsa walaupun keputusan dijangkakan selepas jam 10,
Pagi yang mendung dan berintik tidak mampu dapat memadam keresahan. Syifa...SKS, SKS...Syifa, langkah debaran dihayun berulang-kali antara dua tempat ini. Akhirnya, kelibat guru besar memegunkan kami terus di SKS. Dewan telah pun penuh. Pelbagai riak wajah kelihatan, tanda debaran, tanda harapan, tanda kegusaran.
Bilangan teramai mendapat 5A, dengan 97 orang murid diumumkan. Tersingkap sedikit debaran, bermakna ramai yang mendapat 5A, tapi siapa?
Giliran pengumuman keputusan bermula. Murid dan ibu-bapa semakin resah. Pengumuman dimulai dengan memanggil mereka yang mendapat 4A 1B. Satu persatu nama dipanggil sehinggalah ke nama yang terakhir. Sah! kakak bukan dari kelompok 4A 1B. Harapan untuk melihatnya berada dalam kilaun 5A semakin kuat. Jika peperiksaan percubaan dijadikan kayu ukur, Insyallah tempatnya adalah bersama mereka yang terbaik.
Kini tiba giliran mereka yang mendapat 5A, yang lain akan diserahkan di dalam kelas masing-masing. Nama demi nama dipanggil. Dewan mulai meriah. Ucapan tahniah kedengaran di sana-sini, begitu juga tangisan kegembiraan.
Aku dan isteri terus digamit resah. Lubna binti Akmal! Hilang segala resah, gugur gundah yang mendera. Kakak melangkah gagah menuju pentas. Di sudut lain, genangan kegembiraan membasah kelopak. Pelukan kesyukuran dan kegembiraan menyatukan mereka.
PEMILIHAN SEKOLAH
5A hanyalah permulaan. Sebelum penggal persekolahan tamat permohonan ke sekolah harian, kawalan dan SBP telah dibuat.SMK Wangsa Maju Sek5 dipilih sebagai sekolah harian. Manakala SMK Aminuddin Baki pula sebagai sekolah kawalan pilihan.
InterGom merupakan SBP pilihan, dan ianya merupakan pilihan pertama dari kesemua pilihan. Sebaik keputusan keluar, salinan keputusan dan borang berkaitan kami serahkan ke sekolah. Besar harapan kami agar anak dapat ditempatkan di sini.
Selain InterGom, sasaran yang ada adalah MRSM, terutamanya MRSM Kuantan. Ini sebagai meneruskan kesinambungan dari umminya yang telah menjadi warga di sana.
Sementara menunggu panggilan temuduga InterGom, permohonan memasuki MRSM diuruskan. Dilema melanda. Ada tiga program ditawarkan. Ikutkan hati dan harapan, UA adalah sasaran. Tapi saingannya bukan kepalang, lagi pun kakak tidak biasa membuat hafazan.
Program IGCSE dijadikan taruhan setelah dipertimbangkkan semasaknya, dan kebetulan pula Kuantan ada juga menawarkan program ini. Sekolah pilihan, MRSM Kuantan. Tempat temuduga juga MRSM Kuantan.
Hari-hari berlalu terasa begitu pantas. Tarikh temudaga MRSM semakin hampir, panggilan temuduga ke InterGom belum juga diterima. Didesak rasa ingin tahu, panggilan ke InterGom dibuat. Malang sekali, proses temuduga telah pun berlalu. Terlepaslah quota pengetua. Kini, peluang terasa amat tipis. Begitu banyak komen yang di baca mengatakan 5A bukanlah jaminan mampu menempatkan diri ke SBP. Kami berserah...
TEMUDUGA DAN KEPUTUSAN PENEMPATAN
Lama menunggu, panggilan temuduga ke SBP belum diterima. Tiada yang pasti adakah ianya panggilan bersurat atau hanya sekadar melalui panggilan telefon. Tarikh menduduki UKKM MRSM semakin hampir. Panggilan ke InterGom dibuat bagi pengesahan. Hampa! Proses temuduga telah berlalu. Bagi SBP harapan tinggal adalah berdasarkan pemilihan kementerian.

Kini, saki-baki perjuangan yang tinggal perlu digembelingkan agar berjaya menempatkan diri ke MRSM. Persiapan rapi dibuat bagi menempuh temuduga yang bakal mendatang. Usaha beriring doa. Di saat hati gusar dan gundah, Allah tenangkan kegusaran kami. Beberapa peristiwa tidak diduga berlaku, membayangkan adanya sinar dan harapan untuk menjejak ke MRSM disebalik mendung SBP.
Temuduga di Kuantan berlalu dengan tenang. Tidak ramai wajah yang dikenali kecuali seorang dua yang juga menghantar anak untuk menduduki temuduga. Pada hari temuduga, hanya seorang saja kelibat kawan kakak yang berjaya dilihat.
Keputusan pertama yang keluar adalah untuk kemasukkan ke SBP. Keinginan dan debaran berlari seiring. Hampa, itulah yang boleh digambarkan. Agakan awal yang sememangnya sukar untuk menempatkan diri di InterGom menjadi kenyataan.
Bagai jatuh ditimpa tangga, keputusan langsung tidak menyebut layak diterima masuk ke mana-mana SBP. Bagi SBP, harapan yang tinggal tertumpu pada usaha rayuan.

SEKOLAH HARIAN DAN KAWALAN
Benarlah penantian itu satu penyiksaan. Tersiksa batin, tersiksa kantung. Minggu persekolahan bakal menjelang, tiada persiapan yang dibuat gara-gara mengharap adanya sinar di MRSM.
Seperti untuk kemasukkan ke SBP, keputusan untuk ke sekolah kawalan/kelas kawalan juga tidak menyebelahi. Rupanya begitu hebat saingan, seumpama satu pertandingan. Atas dasar usaha, rayuan ke SBP dibuat, disamping itu urusan penukaran sekolah juga cuba dipohon, SMK Sg Pusu jadi taruhan. Maklumat dari pejabat pelajaran Gombak tidak memberangsangkan. Onak dan ranjau terasa begitu kuat melingkar sedangkan parang tiada di tangan.
Satu hari ketika sedang bekerja, panggilan masuk diterima. Panggilan berbunyi, sila datang ke sekolah untuk mengambil surat tawaran ke CBN. Termanggu seketika. CBN? Langsung tidak dipohon dan keputusan dalam talian juga telah mengatakan telah gagal untuk penempatan ke sekolah kawalan. Apa pun, ambil dahulu surat tawaran. Persoalan bermain dibenak fikiran biarkan dahulu.
CBN? Sekolah harian di Wangsa Maju?, betul-betul memeningkan! Setelah berfikir panjang, kami lepaskan CBN walaupun ianya antara sekolah kawalan yang terbaik. Sebagai seorang yang ahli keluarganya datang dari sekolah beraliran agama, pola fikiran tidak sukar dibaca. CBN ditolak selain dari masalah lojistik yang menyukarkan untuk ke sekolah
SMK WANGSA MAJU
Minggu persekolahan menjelma. Hanya berbekalkan dua pasang persalinan, di SMK Wangsa Maju Sek5 persekolahan diteruskan. Nasib baik minggu pertama tidak lebih kepada proses orientasi. Segala keperluan dibeli hanya setakat keperluan sahaja. Harapan sebenar tertumpu pada MRSM yang keputusannya dijangka pada minggu pertama persekolahan. Desas-desus mengatakan antara Rabu atau Khamis.
KEPUTUSAN MRSM
Rabu berganti Khamis, akhirnya Jumaat menjelma, namun semakan ditalian memberikan jawapan yang sama...Keputusan semakan belum diaktifkan. Panggilan yang dibuat ke Mara tidak dapat memberikan jawapan yang memberangsangkan. Tiada siapa yang berani memberikan tarikh yang pasti.
Dalam banyak-banyak laman sesawang MRSM yang kami temui, MRSM Gemencheh merupakan yang paling cemerlang dalam memaklumkan berita dan status terkini. Walaupun ianya tiada kaitan dengan IGCSE, laporan mutakhir mereka sedikit-sebanyak dapat memaklumkan perkembangan terkini, begitu juga interaksi mereka yang lain di situ.
Kemaskini terakhir yang dirujuk mengatakan ianya dijangka keluar pada 7 Januari atau selepasnya. Pendaftaran pula pada 15 Januari. Masa kelihatan suntuk.
7 Januari berlalu tanpa ada sebarang keputusan. Esok paginya juga sama. Setelah dihubungi bahagian HEP kemasukkan menengah, rupanya sistem mengalami gangguan. Kelibat petugas MARA yang dikesan MARA mengesahkan tiada tanda akan pulih dalam masa terdekat. Ini bermakna kakak perlu meneruskan persekolahan di Wangsa Maju. Hari ini kakak ke sekolah? Itulah soalan lazim ditanya selagi mana keputusan belum keluar.
Selasa petang, waktu pejabat hampir tamat, hari ini juga sistem memberikan jawapan yang sama. Selesai solat asar dan dalam keadaan bersiap, zaujah meminta agar diperiksa sms yang baru dihantar. Sms memaklumkan agar dicetak surat tawaran dari laman sesawang yang diberikan. Rasa gembira berbaur hairan. Gembira kerana penantian telah membuahkan hasil. Hairan kerana pautan yag diberi bukanlah laman sesawang yang asal dan ini agak mencurigakan. Setengah orang mungkin tidak kisah, tapi kerana dah terbiasa untuk tidak mudah mempercayai sebarang berita yang diterima lebihlah lagi ianya datang dari nombor tidak dikenali.
Dihambat masa, siang dan malam bekerjaran membuat persediaan. Mungkin ini sebahagian dari proses oreintasi secara tidak langsung yang MARA lakukan. Tidak sedikit rungutan yang kami baca terutamanya di portal MRSM Gemencheh akan kesukaran yang terpaksa ditempuhi oleh mereka yang berhasrat ingin menempatkan anak mereka di MRSM dek kelewatan pengumuman keputusan kemasukkan.
Ke sana ke mari mencari baju sekolah beige yang mesra syariah. Merata kedai di cari sekitar jajaran Melawati, Tmn Permata hinggalah ke Keramat . Benar, ada dijual di pejabat MARA, tapi waktu jualannya agak menyukarkan, apatah lagi dengan lokasinya yang berada di tengah metropolitan.
Ada antara kedai yang dikunjungi punyai kain sahaja, ada yang saiz bajunya tidak secocok dengan susuk tubuh, ada juga yang warnanya agak ganjil, kedai yang sama mempunyai dua jenis warna beige yang berbeza. Sunnguh memeningkan!
Alhamdulillah, kunjungan ke Keramat Permai berbaloi. Dapat juga dicari walaupun tidak berapa menepati ][citarasa hati. Banyak yang kami temui baju kurung perempuan dibuat dari kain yang agak nipis dan jarang, terutamanya untuk baju kurung sekolah yang berwarna putih. Mungkin sudah sampai masanya untuk digubal undang-undang agar dimansuhkan penggunaan kain putih bagi pakain sekolah untuk murid perempuan agar aurat itu dijaga.
HARI PENDAFTARAN
Hujung minggu bagaikan berperang. Berperang membuat persiapan. Besar kemungkinan ada yang tercicir dan tak sempat disediakan
Pendaftaran memasuki TAR bermula jam 9 pagi Selasa 15 Januari. Isnin kami masih lagi bekerja. Selesai kerja terus saja bergegas ke rumah. Setelah semua barang yang disenaraikan hampir lengkap, selepas Isyak kami bertolak ke Temerloh. Bermalam di rumah abah dan ummi sebelum meneruskan perjalan ke Pekan keesokkan harinya. Awal lagi atoknya sudah berpesan ingin turut serta jika kakak ingin mendaftar ke MRSM.
Kasih sayang atok terhadap cucu. Awal lagi gulai patin kegemaran kak long telah disediakan. Walau tiba sudah menghampiri tengah malam, kakak tidak melepaskan peluang untuk memakan juadah yang telah disediakan.
Esoknya, selesai sarapan, kami bertolak memulakan perjalan penuh pengharapan .Pekan, itulah destinasinya, tempat yang bakal menjadi rumah kakak selama beberapa tahun lagi.
Lama benar tidak ke Pekan, terasa benar perubahannya. Jalannya sudah semakin lebar, dan tiada lagi kesan terbakar di kiri kanan jalan. Ralik menyuruh anak mengambil gambar, tanpa disedari kami telah terlajak ke hadapan. Pejabat Peladang yang dicari sebagai panduan tidak kelihatan. Rupanya telah ada bangunan lain betul-betul bersebelahan pejabat itu yang menghijab pandangan. 

Dewan MRSM TAR
 
Tiba yang sedikit lewat, menyaksikan telah banyak deretan kereta bersusun di padang. Kedatangan kami disambut baik dan mesra warga TAR dari kalangan pelajarnya. Sopan dan berhemah, cuma kurang memberi salam. Urusan-urusan seterusnya diserahkan ke umminya yang lebih arif dengan MRSM. Umminya jugalah yang beria untuk menempatkan kakak ke MRSM. Tak pernah padam usaha dan doa buat kakak dari umminya untuk melihat anak tersayang menjejak kaki ke MRSM Kuantan sepertinya juga suatu masa dahulu. Namun, harapannya tidak berapa kesampaian. Kecewa? Tidak. Di terima masuk ke TAR sudah cukup rahmat. Insyallah dengan Mini Ulul yang cuba diterapkan, sahsiah diri pelajar dapat diperkukuhkan. Faktor mini UA inilah yang membuat hati terbuka untuk menempatkan anak di MRSM.
Ucapan Pengetua
Sementara menunggu jam 11 bagi sesi taklimat, kami bergerak ke asrama bagi membantu kak long mengemas almari. Ditemani pelajar tingkatan 2 yang menjadi juru pandu, kami memasuki asrama. Mengikut pelajar itu, almari di bilik itu baru saja sampai dua hari yang lepas.
Biliknya merupakan satu bilik yang besar yang dipecahkan kepada tiga bilik kecil yang dipisahkan oleh dinding. Sebelum kami telah ada seorang pelajar yang terlebih dahulu telah masuk. Jadi kakak masih lagi bebas katil dan bilik kecilnya. Dia memilih bilik yang mempunyai tiga katil, lebih meriah katanya. Belum sempat habis mengemas, semua pelajar dan penjaga dikehendaki hadir untuk mendengar taklimat. Saya mengarahkan zaujah dan anak untuk mendengar taklimat. Manakala saya, atok dan adik-adiknya terus berada di bilik sambung mengemas.
Sesi Homeroom
Selesai mengemas kami terus ke dewan. Antara perkara menarik yang sempat didengar adalah penerapan mini UA dan kelonggaran membawa telefon bimbit yang paling ringkas. Bagi mini UA, tahun pertama sekurangnya pelajar perlu menghabiskan juzuk 30. Sangat baik. Habis di dewan, bersambung pula dengan acara pertemuan ringkas pelajar, keluarga dan guru homeroom.
Selesai dengan homeroom, saki-baki keperluan perlu dicari, perut yang lapar perlu di isi. Bandar Pekan menjadi sasaran. Tiada arah tuju yang tertentu. Dibenak terfikir Bergadang, cuma tidak pasti akan kewujudannya. Dari maklumat setempat, pemiliknya telah berpindah tangan. Pa Bedah menjadi tempat singgahan.
Selesai segalanya, kami kembali ke MRSM. Nasihat dan pesanan ditinggalkan. Pesanan atoknya ringkas dan padat, "Jangan lakukan perkara yang boleh memalukan keluarga". Kakak ditinggalkan di sana. Perjuangannya baru bermula. Perjuangan mengenal diri, mengenal sahabat, dan juga berdikari. Semua ini sebagai latihan dan tarbiyah agar menjadi lebih matang. Sebutir kejora kami tinggalkan di sana, semoga ia terus bersinar dalam kilauan bintang yang lain.





Comments