Disember berlalu disapa Januari. Musim persekolahan menghambat ibu-bapa, terutama bagi mereka yang terlibat dengan anak yang pertama kali menjejak alam persekolahan. Ianya menjadi pengalaman pertama ibu-bapa, pengalaman pertama si anak juga. Ramai yang teruja, tidak kurang juga yang kelam-kabut dek karenah anak masing-masing. Tangisan, raungan, larian, malahan tidak kurang juga aksi baringan dilantai sekolah semata meruntun perhatian ibu-bapa agar mereka dapat bersama mengharungi persekolahan di hari-hari pertama.
![]() |
Hari Terakhir Minggu Orientasi |
Buat kami, anak yang ketiga ini sungguh teruja untuk memulakan alam persekolahannya. Yang baru di sesi pagi, manakala abangnya di sesi petang. Tahun sebelumnya lebih senang sedikit untuk dilepaskan anak yang baru masuk kerana ada kakaknya di sesi yang sama, tahun ini anak yang baru masuk perlu dipantau lebih sedikit kerana kerana perbezaan sesi antara abang dan adik. Andai kedua-duanya berada di sesi yang sama, Insyallah urusan menjadi sedikit mudah.
Sejuta penghargaan harus diucapkan kepada semua warga kerja SKS yang bertungkus-lumus memastikan anak-anak yang baru ini dapat dikawal. 3 hari pertama merupakan tugas berat buat mereka kerana ramai ibu-bapa berkampung di kawasan sekolah untuk memastikan anak-anak mereka dapat membiasakan diri dengan suasana persekolahan disamping memerhatikan bagaimana para guru mengendalikan anak-anak mereka.
Penuhlah sekolah pada hari itu dengan para ibu-bapa. Bermacam kerenah disaksikan. Di awal pagi mereka berkumpul di tempat perbarisan. Seperti tahun sebelumnya, ada yang pitam. Cuma yang pitam ini bukan dari kalangan murid baru. Mungkin tidak makan sebelum datang ke sekolah menjadi puncanya.
Rehat hari pertama menyaksikan kantin teramat sesak. Sepatutnya pelajar yang duduk memenuhi meja makan, namun ada juga segelintir ibu-bapa menyelit sama. Mungkin teruja untuk bersama mengharungi rehat pertama anak bersama.Sebelum ke kelas mereka kembali berkumpul di tempat pengumpulan murid baru. Hati tersentuh, mengapa masih ada ibu-bapa yang gemar memakaikan pinafore untuk anak mereka. Sudahlah jauh dari ciri pakain yang mendidik untuk menutup aurat. Mereka yang masih mentah ini, yang belum pandai duduk dengan sopan ditegur oleh guru penyelia. Pesanan dibuat kepada penjaga mereka agar dipakaikan seluar pendek agar tiada lurah yang jelas kelihatan ketika duduk di dewan. Andai pakaian yang berlandaskan syariat diikuti, Insyallah perkara ini dapat dipelihara. Betul mereka masih anak dan tidak sampai umur wajib. Tapi sepatutnya kita mengambil iktibar dari pesanan Nabi S.A.W yang menyuruh kita agar menyuruh anak yang berusia tujuh tahun untuk menunaikan solat. Luaskan konsep kefahaman ini kepada mendidik untuk berpakain yang menutup aurat.
Petangnya pula mengharungi sesi suai-kenal bagi pengajian KAFA di Masjid Muaz Setiawangsa. Ceria sahaja tanpa kelihatan raut penat diwajah. Hari pertama berlalu tanpa sebarang masalah.
Hari kedua di SKS terjawab persoalan ibu-bapa tentang cara penempatan kelas. Sebelumnya ada yang bersungut mengapa anak mereka berada di kelas yang agak hujung pada bacaan abjadnya. Rupanya kelas "A" itu tidak bermakna mewakili kelas yang terbaik. Apa yang saya faham, kelas yang menempatkan anak-anak untuk mengikuti pelajaran mandarin merupakan antara kelas yang baik. Biasanya, untuk ditempatkan ke kelas ini secara perpindahan kelas adalah sukar, melainkan mereka yang ingin keluar dari kelas ini untuk berpindah kelas yang ada pelajaran bahasa arab. 2010, abangnya bernasib baik dapat berpindah ke kelas bahasa arab setelah ada ibu-bapa yang bertegas inginkan anaknya mengikuti kelas yang ada pelajaran bahasa mandarin. Kiranya, tukar suka sama suka. Di tahun ini sekali lagi kami kena memohon untuk pertukaran kelas. Alhamdulillah, sebelum tamat minggu pertama, anak kami dapat dipindahkan ke kelas lain.
Hari kedua di kelas KAFA menyaksikan si anak kehilangan dompetnya. Banyak kali telah dipesan agar disimpan elok. Katanya dompet tertinggal di dalam kelas, dicari kembali, namun bayang pun tidak kelihatan. Tidak ingin membuat tuduhan, laporan dibuat kepada ustazah yang mengendalikan kelasnya. Sehingga tamat minggu pertama, seakan tiada harapan dapat kembali. Mungkin dah rezeki, di minggu kedua dompet itu ditemui di bawah meja kelasnya. Aneh...sememangnya aneh.
Minggu pertama berlalu penuh dengan cerita. Ada gelak-ketawa, ada tangisan yang menghiasi suasana. Semuanya bakal menjadi sejarah buat mereka dalam mengharungi alam persekolahan rendah sebelum melangkah lebih jauh lagi dalam meniti arus kehidupan moden yang penuh pancaroba.
![]() |
Hari Terakhir Minggu Orientasi - Ceria Dalam Terik |
![]() |
Hari Terakhir Minggu Orientasi - Gangnam? |
![]() |
Hari Terakhir Minggu Orientasi - Chicken Dance |
Comments
Post a Comment
Pandangan anda dihargai