TAZKIRAH SUBUH MASJID AT-TAQWA PEKAN

Dah lama tak dengar bacaan tarhim di sekitar KL. Hari ini di Pekan, mendayu bacaan tarhim dialunkan dari Masjid At-Taqwa. Saya agak ianya dari masjid At-Taqwa kerana ianya masjid yang terhampir dengan Inderapura Lake Resort.

Subuh di sini kelihatan meriah, berbondong manusia datang, ada yang berlenggang, ada yang mengelek kitab. Nampaknya ada tazkirah/kuliah selepas subuh.

Tepat sekali! selepas subuh adanya kuliah. Tak sempat nak bertanya siapa nama tuan guru yang memberi kuliah kerana tak sempat bersama sehingga habis majlis.

Intipati tazkirahnya berkisar tentang taubat. Di bawah ini adalah ringkasan dan mafhum dari sabda nabi yang dikutip dari kuliah tersebut.

Sesalan itu permulaan taubat. Mereka yang bertaubat seumpama tiada dosa baginya

Tiadalah sesuatu yang disukai Allah melainkan orang muda yang bertaubat. Tiada yang sangat dimurkai Allah melainkan orang tua yang kekal dalam kemaksiatan

Allah suka orang tua yang bertaubat, tapi Allah lebih sukakan orang muda yang bertaubat.

Hamba yang berdosa dimasukkan ke syurga, lalu ditanya orang kepada nabi, kenapa mereka dimasukkan ke Syurga. Ujar nabi, Ini kerana mereka menyesal lalu bertaubat kepada Allah.

Anas R.A berkata, seorang lelaki yang telah melakukan dosa mengadu kepada nabi tentang perlakuan dosanya. Nabi bersabda kepada beliau yang bermaksud Istighfarlah kepada Allah. Lelaki itu berkata lagi kepada nabi, Aku bertaubat dan aku kembali kepada dosa itu. Nabi berkata, bertaubatlah setiap kali kamu berbuat dosa. Keampunan Allah itu lebih banyak dari dosa yang kamu lakukan.

Walau hanya sempat seketika berada dalam majlis ilmu ini, pengajarannya tetap banyak. Janganlah kita serik dan jemu dari bertaubat, tapi dalam masa yang sama janganlah kita terasa ingin melakukan dosa kerana Allah itu maha pengampun. Ditakuti kita tidak tergolong dalam golongan yang mendapat keampunan Allah.

Sekira ada kesilapan harap dapat dibemaklumkan untuk pembetulan

WA

Comments