Kita biasa mendengar singkatan JJCM, JJCS? mungkin ini adalah kali pertama :). Tak pasti sama ada telah ada yang menggunakan singkatan ini. JJCS saya gunakan untuk merujuk kepada "Jalan-jalan cari saudara & sahabat". Misi perjalanan kali ini adalah untuk berjumpa saudara dan sahabat sambil melihat keindahan buana.
 |
Felda Residence KT |
Kami memulakan percutian dan perjalanan di tengah minggu kelangsungan dari mengambil kakak di asrama. Sekolahnya memulakan cuti sedikit lewat dari taqwim percutian sekolah atas sebab-sebab tertentu. Sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu (KT), kami bermalam di Kuantan kerana tidak berbaloi untuk bertolak waktu malam ke KT. Juga sebagai memberi ruang kepada anak-anak yang ingin bermain di kolam setelah hotel yang bakal diinapi di KT tidak mempunyai kolam.
Setelah check out keluar dari hotel, kami meneruskan perjalanan ke KT. Singgah sebentar di Beserah untuk membeli karipap panas. Bukan rezeki kami, pada hari itu karipap ayam tidak dibuat. Selesai solat zohor di masjid Cherating, kami terus saja ke Kemaman untuk singgah sebentar mencari makanan. Bagi menjimatkan masa, kami bungkus sahaja sata dari kedai Che Wan dan keropok dari gerai sebelahnya.
Tiba di KT hari sudah menghampiri jam enam petang. Keputusan dibuat untuk terus ke Batu Rakit. Selain bertemu dengan dua pupu zaujah yang bekerja di warung Pok Nong, kami juga boleh menikmati sotong celup tepungnya. Dua dalam satu. JJCS dan JJCM. Walau sudah agak petang, pengunjung masih ramai lagi. Kali ini, acara berebut sotong tidak sehebat ketika perniagaan bari dibuka. Semua nampak berhemah, tidak ada yang pakai gunting untuk mengambil sotong :).
 |
Sotong Celup Tepung - Warung Pok Nong |
Dalam perjalanan balik ke bandar untuk pendaftaran masuk hotel, terlihat ada tempat-tempat jualan sedang dipasang berhampiran satu surau. Nama tertera adalah Surau Pak Tuyu. Namanya menggamit ingatan kepada kuliah pengajian kitab Muhimmah UAI yang banyak diambil dari Internet. Hati berat mengatakan mungkin malam itu jadual beliau di situ. Setelah dirujuk kepada jadual kuliah bulanan beliau, sah! memang malam itu adalah malam beliau menyampaikan kuliah. Sebelum datang KT memang perasan ada dua malam yang boleh ikut pengajian beliau. Rancangan asal adalah untuk mengikuti pengajian di surau Flat Ladang. Memandangkan tempat dah tahu, rasa rugi jika tak pergi.
Kami bergegas kembali ke KT untuk membuat pendaftaran masuk. Setelah semua siap mandi dan berkemas, kami kembali ke surau Tuk Puyu. Sempatlah juga mendengar sessi menjawab soalan. Seusai solat isyak, saya dan anak-anak lelaki masuk ke dalam surau untuk bertemu beliau. Alhamdulillah, ustaz masih ingat kami walaupun dah agak lama tak berjumpa. Malam itu juga kami berpeluang untuk minum bersama ustaz dan rakan-rakan beliau di Yee Stall Batu Buruk. Pertemuan itu cukup bermakna kerana .... kerana apa, biarlah ianya disimpan dihati kami sekeluarga :).
 |
Yee Stall - PBB |
Esoknya, selesai solat Jumaat kami ke Chabang Tiga untuk bertemu saudara-saudara yang lain. Jika nak singgah semua rumah, pastinya tak sempat. Kami pilih rumah yang paling hampir dengan surau dan tempat mencating sutera. Misi mencari sutera terbantut, stok tiada! Nampaknya esok sahajalah ruang yang ada untuk mencari.
Malam pula, kami bertemu Pok Ya (sahabat sepengajian) sekeluarga. Beliau membawa kami ke restoran lempeng di Marang. Rasanya, ini antara restoran yang popular di sekitar KT. Tak susah nak cari, hanya di seberang Masjid Rusila (Masjid TGHH). Malam itu kami mencuba lempeng, sotong pulut dan juga nira/tuak float. Malam itu, terpaksa jadi DBKL, sebab anak-anak tak boleh nak minum nira float.
 |
Lempeng & Nira Float |
Comments
Post a Comment
Pandangan anda dihargai