SUDAH SETAHUN RUPANYA

Dicongak, dihitung, entah berapa purnama blog ini tidak bersentuh. Banyak yang nak ditulis, hampir kesemuanya hilang begitu sahaja.

Masa berlalu begitu pantas. Rupanya sudah melewati setahun usia aku tidak lagi menanti hari yang ditunggu ramai. Hari masuk gaji.

Satu ketika dahulu aku termasuk dengan rakan-rakan yang lain, sentiasa menghitung hari. Adakah bahagian kami pada bulan ini, ketika itu syarikat dilanda kegawatan. Kini tiada lagi yang gawat, tiada lagi teka-teka bermain. Tiada lagi harapan kosong membelenggu. Namamu hanya terukir ditinta sejarah. Menjadi lakaran bacaan sahaja.

Sesungguhnya begitu banyak hikmah yang boleh aku lihat. Ramai antara kami yang lebih berjaya. Ada yang meneruskan kerjaya masing-masing dengan syarikat lain. Ada yang menapak membina empayar sendiri. Ada juga yang masih menunggu. Ada juga yang terus berpindah bidang. Ada yang menjadi pengusaha kek, ada yang menjadi pengusaha keropok, dan berbagai lagi.

Aku...

Hendak dikata masih lagi bergelumang dengan pengalaman lama, boleh juga dikata begitu. Cuma bentuknya sedikit berubah. Kini menjadi 'freelancer'. Kaya dunia? Setakat ini Allah belum izinkan lagi. Kaya masa? Ya... Alhamdulillah, paling ketara aku punya banyak masa di hari jumaat untuk datang awal ke masjid. Punya lebih masa untuk duduk di masjid, juga punya masa untuk mengaji, sekurangnya Al-Kahfi.

Yang paling tidak disangka, mungkin angan lampau, mungkin juga sebahagian cita-cita. Aku terjebak dengan industri berasaskan pertanian. Siapa sangka dari pembeli, kemudian tolong belikan untuk kawan-kawan, kini Allah berikan aku kekuatan untuk menjadi penjual buah nanas. Khususnya Nanas MD2.

Nanas Md2

Sebelum aku menamatkan kerjaya di syarikat lama, aku sentiasa pautkan doa agar Allah tunjukkan dan permudahkan aku mencari rezeki yang memberikan aku punya lebih masa untuk agama dan keluarga. Seorang kawan pernah berkata, apabila kita tidak lagi makan gaji, tahap kebergantungan kita kepada Allah akan lebih meningkat. Kita akan sentiasa mengharapkan pemberian dari Allah, kita akan sentiasa memanjatkan doa kepada Allah. kita menginsafi kekerdilan kita.

Yakinlah dengan zikir yang di ajar oleh nabi sesudah solat maktubah. Sebagai manusia, kita hanya berusaha. Soal berjaya atau tidak, itu kita serahkan kembali kepada Allah. Dari segi adatnya, barangsiapa berusaha, dia akan berjaya

اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لَمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Ya Allah tidak ada yang dapat mencegah apa yang Engkau berikan dan tidak ada yang mampu memberi apa yang Engkau cegah. Nasib baik seseorang tiada berguna untuk menyelamatkan ancaman dari-Mu


Comments