UPSR 2016 - PASCA KEPUTUSAN - SAS & TGS

Keputusan telah pun keluar. Walaupun keputusannya tidaklah 6A, hasrat untuk menempatkan anak ke sekolah SBP dan MRSM memang sudah dirancang. Cuma sekolah yang mana hendak dipilih masih lagi belum diputuskan.

Setelah perbincangan bersama anak dibuat, kami semua bersetuju untuk memohon SAS (Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya) bagi kategori SBP dan TGS (Tun Ghazali Syafie) bagi kategori MRSM.
Bagi kategori SBP, kami tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi kerana dijangkakan saingannya pastilah hebat. Kakaknya dulu pernah gagal dalam cubaan menempatkan diri ke SBPI Gombak. Yang adiknya ini, untung batu tenggelam, untung sabut timbul. Bagi MRSM, yang empunya badan tidak mahu mengikut jejak langkah kakaknya di Pekan dengan alasan kurang berani mengambil risiko berdepan IGCSE. Kenapa Lipis, salah satunya lebih hampir dengan KL dan keduanya kampung halaman sendiri :).

Sebelum tamatnya persekolahan, kami menerima panggilan dari SAS dengan berita anak puan dipanggil ke sesi temuduga kemasukan SAS pada minggu pertama cuti persekolahan. Nasib baik belum dihantar ke mana-mana kem cuti sekolah. Kalau tidak susah jadinya. Ada antara yang hadir ke temuduga terpaksa mengambil anak dari kem cuti sekolah. Mungkin kepada ibu bapa yang ada mernacang untuk menghantar anak ke sekolah berasrama penuh, carilah tarikh kem cuti sekolah yang agak jauh sedikit dari minggu-minggu awal cuti persekolahan dibimbangi berlakunya pertembungan sebegini.

Mendaftar untuk temuduga di TGS
Selain soalan lazim tentang diri, anak-anak yang datang untuk sesi temuduga tersebut perlu melalui ujian kecergasan secara berturut-turut. Dimulai dengan push up, sit up dan diakhiri dengan larian 400 meter.

Kami berterima kasih kepada guru-guru SKS, terutamanya cikgu Ezam, cikgu Azeze dan juga cikgu Khairul yang telah memberi peluang kepada anak kami dalam mengembangkan potensi diri dalam acara sukan terutamanya sofbol dan bola sepak. Anakanda telah mewakili sekolah sejak dari darjah dua sehingga tamat persekolahan dan terlibat sehingga pengiktirafan antarabangsa. Sekiranya ada anak-anak yang dilihat mempunyai potensi dalam bidang sukan. Jangan dihalang mereka semata terlalu mementingkan akademik kerana ianya bakal memberikan kelebihan kepada mereka suatu hari nanti. Pada mulanya, ketika pendaftaran sesi persekolahan 2016, kami sudah merancang untuk tidak membenarkan beliau menyertai sebarang acara sukan bagi mewakili sekolah. Tapi tak sampai hati pula bila cikgu bolanya sendiri meminta izin di hari pertama persekolahan ketika pendaftaran adiknya agar beliau dibenarkan lagi bermain bagi mewakili sekolah. Allah maha mengetahui, rupanya keizinan yang diberi juga mempunyai pengaruh dalam proses melayakkan untuk dipanggil temuduga ke SBP dan MRSM. Ini kerana salah satu kejohanan yang disertai, diiktiraf oleh KPM sebagai kejohanan bertaraf antarabangsa. Ringkasnya, sepanjang persekolahan di SKS, anakanda telah mewakili sekolah untuk peringkat negeri dan juga antarabangsa melalui sofbol, bola sepak dan juga futsal.

bersasmbung....



























Comments