JJCM - KUALA KANGSAR BHG 1

Perjalanan kali ini sememangnya sesuatu yang langsung tidak dirancang. Seingatnya, kali terakhir bercuti bersama keluarga di utara adalah ketika menghantar adik yang bongsu melanjutkan pelajaran ke UITM Perlis. Di mana percutiannya tidak berjalan seperti yang dirancang kerana banjir besar yang melanda Perlis yang memaksa kami menginap di hotel putra selama beberapa hari akibat terkandas.

Percutian ini adalah rentetan anak yang terpilih untuk menduduki satu ujian pemilihan di bawah kelolaan MARA bertempat di KKTM Lenggong. Segalanya diuruskan secara ADHOC, urusan kepulangan anak, tempahan penginapan dan urusan-urusan yang lain.

Ukhuwwah ibu-ibu imperialis amat mengagumkan. Yang berat dan payah menjadi ringan. Dengan adanya yang sudi menumpangkan anak kami, kurang sudah satu masalah berperang dengan masa. Terima kasih auntie Elin dan Rina. Kalau tidak, boleh tahan juga nak berkejaran ke sana-sini dalam masa yang singkat.

Lenggong, di situlah tempat yang harus kami pergi dan berurusan. Secara khususnya KKTM Lenggong. Melaui carian tentang penginapan yang dibuat, banyaknya terarah ke Rumah Rehat Lenggong dan Resort Tasik Raban. Mungkin kerana telah lewat, untuk hari Khamis, keduanya telah penuh. Kami membuat tempahan di Resort Tasik Raban untuk bermalam pada hari Jumaat. Selain daripada kedua tempat ini ada terdapat banyak homestay di sekitar Lenggong. Tapi kami lebih senang berurusan dengan tempat seperti hotel dan resort kerana sukar untuk menjangkakan waktu tiba.

Pilihan lain yang terdekat adalah Kuala Kangsar. Setelah carian dibuat berkiatan hotel sekitar Kuala Kangsar, kami memilih hotel  The Shop.

KE KUALA KANGSAR (KK)

Asal perancangan ambil cuti separuh hari dan bertolak selepas zuhur. Bimbang tak sempat berkejar sebelum jam 6:30 bagi urusan pendafataran, Khamis cuti full day. Angannya nak bertolak sekitar jam 12. Biasalah, gerabak tak berapa panjang. Ambil masa juga nak siapkan. Apatah lagi nak juga pastikan kelengkapan anak naik sekolah untuk minggu depan tidak terabai. Ya lah, Ahad nak ke Pekan pula menghantar anak.

Persinggahan pertama di hentian bas DUKE bersebelahan masjid Ar-Rahimah Greenwood untuk mengambil seorang kawan kak long yang menumpang bersama kami ke Lenggong. Persinggahan kedua, ambil anak di SK Setiawangsa. Rancangan asal nak minta izin balik awal. Akhirnya tak awal mana pun. adalah 15 minit sebelum waktu balik.

Sasaran asal ingin berhenti makan di R&R Simpang Pulai. Semua lelap, jadi teruskan sahaja sehinggalah ke R&R Sungai Perak. Sebenarnya dari sini dah tak jauh mana pun dengan KK. Kami berehat sebentar di sini. Mulanya ingat nak terus solat jamak di sini. Alang-alang dah nak masuk ke Kuala Kangsar, baik saja dicari mana-mana masjid di sana. Kebetulan pula teringat ada satu masjid yang agak popular di KK, yakni Masjid Ubudiah.

Masjid Ubudiah Kuala Kangsar

THE SHOP


Hotel The Shop

Tiba di Masjid Ubudiah, kami kerjakan solat jamak, sempat juga dirakam beberapa keping gambar. Kemudian terus ke hotel The Shop. Dalam fikiran ingatkan hotelnya seperti hotel-hotel lain yang biasa diinapi. Rupanya, dalam deretan kawasan kedai yang dijadikan hotel. Dari segi kekemasan dan dekorasi ianya kemas dan menarik. Sesuai untuk pasangan yang baru kahwin. Kalau datang bawa satu batalion memang tak sesuai :). Bagi mereka yang perlu bermalam dan berurusan dengan MCKK, hotel ini amat berhampiran dengannya.

Setelah anak-anak yang nak dihantar selesai membersihkan diri kami terus menuju ke Lenggong yang perjalanannya sekitar setengah jam.

KKTM LENGGONG

Kalau ikutkan masa, rasanya memang tak sempat nak tiba sebelum 6:30 P.M di sana. Nasib baik ada yang tolong daftarkan dahulu. Nak cari tempat ini tidaklah susah, dan tidaklah agak ke dalam. Kawasanya kelihatan luas.

Proses Pendaftaran
Setibanya di tempat pendaftaran, dah ramai yang ada. Setelah selesai segala urusan yang perlu kami pun meniinggalkan mereka dan kembali menuju ke Kuala Kangsar untuk makan malam dan aktiviti lain pula.

bersambung...

Comments