JJCM - KUALA KANGSAR BHG3 (LENGGONG)

RESORT TASIK RABAN


Di hari kedua ini kami berpindah pula ke sini. Tempatnya sedikit ke dalam dan terdiri dari chalet-chalet sebagai tempat penginapan. Sesuai dengan bilangan kami, chalet deluxe menjadi pilihan. Pada hari itu, rata-rata yang menginap adalah mereka yang berurusan dengan KKTM Lenggong yang hanya di seberang jalan besar.

Chalet Deluxe ini mempunyai 2 bilik dan ruang tamu yang agak luas. Kalau geng bujang yang menginap, ramai bilangan yang boleh muat.

Antara aktiviti yang boleh dibuat di sini ialah memancing (tak pasti jika perlukan kebenaran), dan berbasikal. Ketika kami di sana, menurut pekerjanya, basikal-basikal yang ada perlukan penyelengaraan. Selain itu ada juga 2 ekor rusa yang menjadi tarikan pengunjung terutamanya anak-anak.

Bagi yang meminati fotografi, jika cantik cuacanya, mungkin boleh menghasilkan sesuatu yang menarik. Pada petang tersebut, suasana senjanya adalah biasa sahaja. Hampa...

Azan maghrib kedengaran. Saya mengajak anak saya mencari masjid datangnya bunyi azan tersebut. Mungkin salah dengar panduan jalan ke masjid, setelah beberapa ketika memandu tidak ketemu masjid. Rasanya seperti salah haluan. Dari perkiraan, masjidnya pasti tidak sejauh ini. Kami pulang ke resort dan berjemaah di bilik sahaja.



Pemandangan Tasik Raban dari Tasik Raban Resort

BANDAR LENGGONG

Seusai solat maghrib kami menuju ke bandar Lenggong mencari mesin ATM. Suasananya agak lengang dengan hanya beberapa kedai sahaja yang masih belum menutup pintu. Selepas singggah di ATM dan membeli ubat di farmasi, kami berpatah balik ke Tasik Raban.

MAKAN MALAM

Tiadanya rujukan dan panduan. Setelah berpusing-pusing sekitar tasik raban mencari tempat untuk makan malam. Akhirnya kami berpatah balik ke sebuah kedai tidak jauh dari resort. Kedai makan yang menyajikan makanan ala-siam. Kedai ini kelihatan seperti masih baru lagi. Pengunjungnya pun tidak berapa ramai mungkin kerana masih baru.

Malamnya kena tidur awal, esok pagi ada taklimat buat ibu bapa pula di KKTM Lenggong.

IKAN PEKASAM CHERAKOH LENGGONG


Ikan sedang digaul dengan beras. Antara ikan yang biasa ialah Loma, Lampam dan juga Tenggalan

Setelah tidak kesampaian untuk maghrib berjemaah di masjid maghrib sebelumnya. Alhamdulillah, Allah izinkan kami untuk menunaikan subuh berjemaah di masjid Al-Hamidiah Kampung Raban, Ketika mula tiba di Tasik Raban pada hari pertama, ternampak papan tanda ikan pekasam. Masa itu dah terdetik untuk mencari ikan pekasam, Khabarnya Lenggong juga terkenal dengan ikan pekasamnya. Bila terkenal, biasanya ramai yang akan mengusahakan.

Jemaah Subuh Masjid Al-Hamidiah

Sesudah subuh,saya menyapa seorang ahli jemaah, Mula-mula bertanyakan jika ada sarapan yang agak istimewa di sekitar. Ditanya tentang ikan pekasam, beliau mencadangkan agar ke Kampung Cherakoh, selepas dari kampung Padang Luas iaitu di mana KKTM Lenggong berada.

Surau Kampung Cherakoh
Setelah selesai urusan di KKTM Lenggong dan mendaftar keluar, kami menuju ke kampung Cherakoh untuk mencari ikan pekasam. Malu bertanya sesat jalan, begitulah bidalan oran tua-tua. Jalan masuknya memang mencabar. 2 kali kami berhenti untuk kepastian. Pertama di sebuah gerai. Keduanya di sebuah rumah. Ingatkan dah sampai, rupanya masih jauh ke depan.

Jalan yang kira-kira muat sebuah kereta pasti agak mencabar bagi mereka yang dah terbiasa dengan jalan yang lebar dan selesa. Walau pun begitu, jalanya adalah dari jenis turapan dan dalam kategori yang elok. Akhirnya kami tiba juga di kampung Cherakoh. Tempat yang dituju ini betul-betul menghadap tasik dan ada sebuah surau berhampirannya.


Tempat mencari ikan

Berdasarkan apa yang saya dengar, usahawan kampung ini dikenali dengan gelaran Moten dikalangan masyarakat setempat. Manakala nama sebenarnya pula adalah Yusuf. Menurut beliau, ikan untuk pekasam dicari sendiri dan diproses dengan bersih. Antara ikan yang menjadi kebiasaan untuk dibuat pekasam ini terdiri dari jenis loma, lampam dan tenggalan. Ikan hanya dipek apabila ada tempahan.

Sementara menunggu ikan-ikan ini dipek oleh isteri beliau, menurut mereka, cara buatan antara pembuat ikan pekasam di sekitar Lenggong tidak kesemuanya sama. Ada yang telah membuat inovasi bersesuain dengan citarasa masing-masing.

Asalnya hanya ingin membeli beberapa pek sahaja termasuk kiriman kawan-kawan. Melihatkan pekasam yang dihasilkan nampak bersih dan tidak tahu bila lagi boleh berkunjung kami pun belilah lebih sedikit.

Waktu menghampiri jam 3. petang, patutlah perut sudah berlagu. Kami dicadangkan untuk mencuba lauk-lauk kampung di Tasik Raban. Gerainya berhadapan kubur dan tidak jauh dari simpang. Kata mereka ada juga ikan bakar disediakan. Nasib kurang menyebelahi, dah hujung-hujung, ikan bakar pun dah habis, lauk-lauk yang ada pun sudah tidak banyak pilihan yang tinggal. Apa pun tak rugi singgah di sini, masakannya memang boleh tahan.

Ringkas tapi menyelerakan

Dari sini, tamatlah kelana kami ke Daerah Kuala kangsar. Esok nak berangkat pula ke Pekan. Sepanjang di Kuala Kangsar dan Lenggong. Kami dapati penduduknya memang ramah-tamah. Mudah untuk mendapat maklumat.

Comments